Abstract:
Hibah adalah salah satu instrumen perancangan harta Islam yang penting di samping faraid, wasiat, wakaf dan harta sepencarian. Instrumen hibah berperanan sebagai salah satu kaedah perancangan harta bagi membendung masalah harta-harta yang terbeku di Malaysia yang meningkat setiap tahun. Ini adalah satu kerugian kepada masyarakat dan pendapatan negara dari sudut ekonomi. Kajian ini dilakukan bagi mengenal pasti faktor-faktor yang menarik minat masyarakat untuk membuat hibah berdasarkan teori gelagat terancang dan model lima besar. Objektif kajian ini adalah untuk melihat pengaruh sikap, norma subjektif, kawalan gelagat ditanggap, keagamaan dan altruisme terhadap niat dan amalan hibah di kalangan penjawat awam di Utara Semenanjung Malaysia. Responden kajian terdiri daripada guru-guru di sekolah-sekolah terpilih di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif dengan instrumen soal selidik bagi memperoleh data kajian. Setelah memperoleh data, ia dianalisa menggunakan analisis regresi berganda. Kajian ini menunjukkan secara empirikal bahawa, bagi lapisan pertama semua pembolehubah tidak bersandar yang terdapat di dalam teori gelagat terancang dan model lima besar mempunyai hubungan yang positif dan signifikan terhadap pembolehubah niat untuk membuat hibah. Daripada sepuluh faktor yang diukur pada lapisan kedua di mana niat sebagai penengah, hanya satu faktor iaitu altruisme mempunyai hubungan antara niat sebagai penengah dan amalan hibah. Kajian ini menghasilkan satu model baru berdasarkan hasil penemuan kajian. Kajian ini mencadangkan bahawa pihak-pihak yang terlibat dalam perancangan harta sama ada secara langsung atau tidak langsung perlu melipatgandakan usaha penerangan kepada masyarakat untuk meningkatkan kesedaran terhadap amalan hibah. Di samping itu perlunya undang-undang khusus untuk hibah digubal bagi menyatukan perbezaan pandangan mazhab bagi memudahkan perlaksanaan hibah di Malaysia.