Abstract:
Pelbagai masalah sosial yang melibatkan golongan remaja masa kini memerlukan proses pemulihan yang sesuai dengan menggunakan metodologi dakwah yang ada. Dalam Islam, dakwah adalah satu kewajipan yang harus dilakukan oleh setiap individu muslim. Pelbagai pertubuhan diwujudkan dalam melaksanakan dakwah Islam dengan pelbagai metodologi yang diaplikasikan dalam gerak kerja mereka. Namun, dakwah dianggap seperti kurang berkesan apabila dilihat semakin meningkat kes gejala sosial yang melibatkan para remaja. Oleh itu, kajian ini dilakukan untuk meneliti metodologi dakwah yang dilakukan oleh pertubuhan terutama Pertubuhan Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) Malaysia. Pertubuhan ini aktif dalam menyelesaikan masalah gejala sosial remaja terutama dengan cara dakwah lapangan. Pelbagai gerak kerja dilakukan bagi memastikan objektif mereka tercapai. Objektif kajian ini dilakukan adalah untuk mengenalpasti metodologi dakwah yang dilakukan UNGGAS dan permasalahannya dalam mendepani masalah gejala sosial ini. Disamping itu juga, kajian ini turut mengenalpasti anjuran Al-Quran dan hadis berkaitan dakwah kepada remaja. Pelbagai persoalan kajian ditimbulkan bagi melengkapkan kajian ini. Kaedah temu bual responden dan pemerhatian digunakan dalam kajian ini. Hasil kajian mendapati bahawa UNGGAS menggunakan pelbagai metodologi dakwah dalam gerak kerja mereka. Gerak kerja dalam UNGGAS dilihat dapat membantu masyarakat secara amnya untuk menangani masalah sosial. Wujud juga beberapa permasalahan dalam gerak kerja mereka tetapi dapat ditangani dengan baik. Walaubagaimanapun, sambutan masyarakat dilihat baik terhadap gerak kerja UNGGAS dalam mendepani masalah remaja.