Abstract:
Isu kelestarian ijtihad dan fatwa untuk merungkai polemik dan menyantuni permasalahan sumbangan tidak langsung dalam tuntutan harta sepencarian telah menjadi isu penting pada hari ini. Pemilihan ijtihad dan fatwa yang tepat akan memastikan perbincangan secara kritis dalam hal ini dapat dipotretkan kepada masyarakat yang cakna ilmu. Terdapat banyak dapatan penulisan ilmu fiqah yang menyatakan kaedah utama dalam ijtihad dan fatwa yang digunakan fuqahak zaman silam dan kontemporari untuk melakar perbincangan yang menarik dalam isu yang diketengahkan ini, namun begitu dalam konteks sumbangan tidak langsung dalam tuntutan harta sepencarian, masih banyak yang perlu diperjelaskan. Objektif utama kajian ini ialah untuk mengetahui kaedah ijtihad dan fatwa di dalam kitab fiqah yang diaplikasikan oleh para fuqahak dalam isu ini. Kajian ini berbentuk kualitatif di mana sejumlah 20 buah kitab turath telah diteliti dan difahami secara deskriptif. Kaedah pengumpulan utama yang digunakan ialah pembacaan dan analisis mendalam dan penilaian naratif telah digunakan untuk menganalisis dapatan yang diperoleh. Hasil analisis membuktikan bahawa sumbangan tak langsung yang berkait dengan hal ehwal rumah dan diluarnya, boleh dilakukan Akad al-Ijarah untuk si isteri layak mengambil upah tertentu mengikut pandangan jumhur. Ia berkaitan dengan jumlah terhad yang masih tertangguh pembayarannya dan dimasukkan ke dalam harta sepencarian. Kajian juga mendapati bahawa sumbangan tak langsung yang berkait dengan kerja luar rumah juga, boleh dilakukan Akad Syarikat al-Abdan mengikut pandangan mazhab alHanafiyyah dan boleh dikaitkan dengan jumlah keuntungan yang berkembang dan dimasukkan ke dalam harta sepencarian. Selain itu, Enakman Undang-Undang Keluarga Islam juga tidak mengkhususkan secara terperinci syarat-syarat pemilikan harta yang ditentukan oleh hukum syarak. Kajian ini mencadangkan supaya satu garis panduan dapat diterjemahkan dalam minda masyarakat Islam di Malaysia secara berterusan untuk memastikan polemik yang berkecamuk ini dapat diperjelaskan dan terjaga kemaslahatan yang ingin diperjuangkan.