Abstract:
Para ulama mendefinisikan peristiwa-peristiwa di sebalik penurunan ayat al-Quran sebagai sabab nuzul āyah. Pengetahuan mengenai sabab nuzul āyah ini merupakan suatu perkara penting yang perlu diketahui oleh masyarakat Islam khususnya para penuntut ilmu al-Quran. Syeikh Abd al-Rauf al-Singkili ketika menulis Tafsir Tarjuman al-Mustafid telah memuatkan data-data mengenai sabab nuzul āyah dalam menafsirkan ayat-ayat suci al-Quran. Walaupun begitu, beliau tidak menyatakan sumber-sumber rujukan yang jelas bagi data-data dan fakta-fakta yang dinyatakan itu. Oleh itu, kajian ini bertujuan mengenal pasti sumber-sumber rujukan mengenai data-data berkaitan sabab nuzul āyah yang terdapat dalam Tafsir Tarjuman al-Mustafid tersebut. Bagi mengetahui sumber data-data tersebut para pengkaji menggunakan pendekatan genetik dalam kajian bandingan yang diperkenalkan oleh Goldman (1967). Kajian ini juga hanya tertumpu kepadasurah al-Baqarah dalam Tafsir Tarjuman al-Mustafid sebagai satu usaha awal ke arah memperhalusi isi kandungan karya tersebut dan seterusnya akan dikembangkan kepada surah-surah yang lain. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat tujuh buah karya yang menjadi rujukan Syeikh Abd al-Rauf al-Singkili ketika membahaskan sabab nuzul āyah dalam Tafsir Tarjuman al-Mustafid iaitu Tafsīr al-Jalālayn, Tafsīr al-Khāzin, Tafsīr al-Tha'labi, Tafsīr al-Wajiz, Tafsīr al-Baydāwi, Tafsīr Mujāhid dan Tafsīr al-Tabari.