Abstract:
Di Malaysia, undang-undang mengiktiraf tuntutan harta sepencarian atas faktor perceraian, poligami atau kematian. Sebagai contoh, seksyen 122, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Kedah Darul Aman) 2008, jelas memperuntukkan berkenaan bidangkuasa Mahkamah dalam memerintah pembahagian harta sepencarian. Terdapat khilaf dalam kalangan para fuqaha’ berkaitan harta milik isteri berpekerjaan sepanjang perkahwinan dari aspek statusnya sebagai harta persendirian atau harta sepencarian. Namun, timbul masalah apabila terdapat situasi di mana sebahagian besar sumbangan rumahtangga adalah berpunca daripada harta isteri. Sumbangan ini dapat dilihat bermula daripada pembelian rumah, kereta, kos asuhan anak-anak yang menjadi sebahagian daripada tanggungan isteri. Justeru itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti pengklasifikasian harta isteri berpekerjaan sebagai harta sepencarian yang berhak dituntut oleh suami dari perspektif syarak, dan seterusnya menganalisis pengiktifaran ‘Urf ke atasnya. Kajian ini adalah kajian kualitatif di mana data kajian dikumpul melalui kajian kepustakaan daripada kitab-kitab fiqh islami dan sumber undang-undang. Sementara itu, analisis data dilakukan menggunakan kaedah analisis kandungan melalui pendekatan deskriptif. Hasil kajian membuktikan bahawa ‘Urf mengiktiraf pengklasifikasian harta isteri berpekerjaan sebagai harta sepencarian. Walau bagaimanapun, bagi isteri yang berkerjaya dan telah menanggung segala keperluan tambahan, harta mereka diklasifikasikan sebagai harta yang tidak boleh dituntut oleh suami dalam harta sepencarian. Kajian ini dapat memberi sumbangan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam tuntutan harta sepencarian seperti penggubal undang-undang dan institusi-institusi mahkamah untuk menilai pengklasifikasian harta isteri berpekerjaan sebagai harta sepencarian yang boleh dituntut oleh suami.