Abstract:
Zawiyah Binti Ismail. Konsep Ketuhanan Menurut Al-Kindi. Kertas Projek bagi melengkapi syarat memperolehi Sarjana Muda Usuluddin, Akademi Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1989.
Ketuhanan merupakan suatu perkataan yang amat luas pengertiannya. Manusia mula mencari Tuhan sejak ia diwujudkan, oleh itu tidak hairanlah sebelum kedatangan Islam, manusia menyembah objek-objek yang dapat dilihat seperti matahari dan patung sebagai Tuhan mereka. Setelah Islam datang membasmikan kepercayaan-kepercayaan khurafat tersebut, ia telah dapat membawa manusia dari jalan yang gelap kepada jalan yang terang. Rasulullah s.a.w. sebagai utusan Allah telah berusaha bersungguh-sungguh menyampaikan ajaran yang mulia ini. Aspek yang berhubung dengan perkara-perkara mengenai aqidah adalah diberi penekanan utama kerana menerusi aqidah dan keimanan yang teguh dan mantap, umat Islam tidak mudah diselewengkan.
Dalam penulisan Kertas Projek ini, penulis telah mengkhususkan bidang ketuhanan itu menurut tinjauan al Kindi.
Adapun masalah yang menjadi pokok perbincangan dalam Kertas Projek ini ialah:
1. Bagaimanakah latar belakang kehidupan al-Kindi.
2. Bagaimanakah sumbangan al-Kindi dalam bidang ilmu pengetahuan.
3. Apakah yang sebenarnya konsep ketuhanan menurut al-Kindi, apakah ia hanya bertaqlid terhadap pemikiran falsafah Yunani atau bagaimana, inilah yang sebenarnya yang ingin diselidiki.
Umumnya orang tidak begitu mengenali al-Kindi, tetapi mereka lebih mengenali al-Farabi yang terkenal dengan gelaran "al-Mua'lim al-Thani" (Guru Kedua). Nama al-Farabi begitu disanjung tinggi dalam konteks perkembagan falsafah Islam khasnya dan pemikiran Islam amnya. Namun begitu al-Kindilah orang yang memainkan peranan yang sebenarnya dalam memperkenalkan alam pemikiran falsafah di kalangan umat Islam, khususnya umat Arab. Oleh yang demikian, sudah sewajarnya tokoh al-Kindi ini ditengahkan supaya namanya tidak terus hilang di tengah kemasyuran al-Farabi dan failasuf yang lain.