Abstract:
Tujuan Kertas Projek ini ialah bagi memenuhi salah satu syarat bagi melayakkan penulis mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Akademi Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Kebahagiaan adalah merupakan cita-cita dan impian bagi setiap orang. Ahli-ahli falsafah dan para cendekiawan mempunyai pendapat yang berbeza tentang kebahagiaan, sementara manusia terus menerus melibatkan dirinya delam perjuangan untuk menuju kepada kebahagiaan yang abadi. Tetapi soalnya dari mana ia mencari sumber untuk mendapatkannya? Bagaimana pula ia mencapainya? Kebanyakan manusia gagal sebab mereka mencari kebahagiaan itu melalui kekayaan material, kesenangan hidup, ketinggian pangkat dan kekuasaan serta pada anak yang ramai. Apa yang jelas di sini, kebahagiaan itu adalah milik setiap orang, yang datang dengan pelbagai cara dan jalan. Tetapi manusia mempunyai pengertian sendiri-sendiri, pengalaman dan tanggapan masing-masing yang merasakannya dengan cara dan jalan yang berlainan.
Dalam membincangkan hal ini, penulis telah memilih tajuk kajian "Konsep Kebahagiaan Menurut Pandangan al-Farabi". Penulis memilih pandangan al-Farabi di dalam membincangkan tajuk ini kerana beliau telah membincangkan konsep tersebut secara jelas dan terperinci yang melibatkan kebahagiaan individu, masyarakat, ummah dan negara. 'Konsep Kebahagiaan yang dikemukannya adalah berlandaskan kepada ajaran Islam yang suci. Antara perkara-perkara pokok yang dibincangkan di dalam kertas Projek adalah seperti berikut:
a. Kebahagiaan dan pengertiannya secara umum.
b. Riwayat hidup al-Farabi yang meliputi kelahiran, sejarah pendidikan, hasil-hasil karyanya, dan sumber falsafah beliau dan kedudukan beliau dalam ilmu pengetahuan.
c. Kebahagiaan menurut al-Farabi.
d. Kebahagiaan dan jiwa manusia dan akal serta pembahagiannya.
f. Empat keutamaan bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
g. Metod al-Farabi dalam mencari kebahagiaan.
h. Kebahagiaan yang teragung menurut al-Farabi.
i. Orang yang paling bahagia dan ciri-cirinya.
j. Pengaruh pemikiran Aristotle dan Plato.
k. Peranan Ketua Negara dan ummah dalam sesebuah negara.
Penulisan kajian ini dimuatkan dalam lima bab utama dan dalam setiap bab mempunyai sub-bahagian yang tersendiri.
Bab I merupakan bab pendahuluan yang mengandungi latar belakang masalah, pengertian tajuk, tujuan penulisan dan penyelidikan, metodologi dan susunan penulisan.
Bab II adalah landasan teori yang membincangkan tentang al-Farabi sendiri yang meliputi riwayat hidup, hasil karya, sumber falsafah dan kedudukan beliau dalam bidang ilmu pengetahuan.
Bab III adalah bab yang membincangkan tentang metodologi kajian yang digunakan.
Bab IV adalah bab yang memuatkan hasil kajian yang dibuat tentang konsep kebahagiaan al-Farabi dan metod untuk mencapainya serta beberapa perkara yang berkaitan dengannya.
Bab V adalah penutup yang mengandungi pengaruh al-Farabi, kesimpulan dan saranan-saranan.
Hasil penyelidikan yang dibuat didapati:
a. Kebahagiaan adalah cita-cita dan impian bagi setiap insan cuma cara dan pendekatannya sahaja yang berbeza.
b. Jiwa yang bahagia ialah jiwa yang bersih daripada ikatan kebendaan dan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.
c. Falsafah dan agama mempunyai hubungan yang erat untuk memberi kebahagiaan yang abadi kepada manusia.
d. Menurut al-Farabi kebahagiaan dapat dicapai melalui akal, hikmat (falsafah) dan pemerhatian serta dengan melakukan perbuatan-perbuatan terpuji.
e. Ilmu pengetahuan, akhlak, intelektual dan perlaksanaannya secara praktikal adalah antara unsur-unsur yang penting bagi mencapai kebahagiaan yang melibatkan individu, masyarakat dan ummah dalam sesebuah negara.