Abstract:
Kajian ilmiah ini dilakukan di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Sasaran utama penulis adalah untuk meninjau sejauhmana pandangan para intelektual Islam kita terhadap sikap Shiah Imamiah kepada para şahabat Rasulullah S.A.W. Tujuan kertas projek ini dilakukan adalah untuk memenuhi salah satu syarat bagi melayakkan penulis mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di Akademi Islam, Universiti Malaya.
Kelompok Shiah Imamiah sebenarnya berasal dari sikap pengagungan terhadap Saydina ‘Ali Ibn Abi Talib. Penyanjungan ini akhirnya berterusan sehingga kepada imam-imam mereka yang dua belas yang dianggap suci dan bersih dari segala dosa. Golongan ini mempunyai pegangan dan cara pemikiran yang agak berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah waal-Jama’ah. Jawatan kepimpinan merupakan satu persoalan pokok utama dan merupakan rukun iman yang mesti diimani oleh setiap dari mereka.
Di dalan bab I penulisan ini, penulis telah menyentuh mengenai perpecahan umat Islam yang telah dibayangkan oleh Rasulullah. Penulis juga menulis tentang pengertian Shiah Imamiah, kelahiran dan sejarah perkembangannya, kumpulan-kumpulan ini ke Malaysia pengertian tajuk dan rumusan masalah, tujuan penulisan juga metodologi penyelidikan sistematika penulisan.
Di dalam bab II, penulis telah memberi pengenalan mengenai Shiah Imamiah, puak-puak yang tergolong dalam Shiah ini, pegangan-pegangan (Aqidah) mereka, dimana penulis membahagikan pula pegangan-pegangan ini kepada pegangan dari sudut asas agama, pegangan dalam masalah feqah (Syariah) juga pegangan-pegangan lain. Tidak lupa, penulis menghuraikan mengenai imam-imam yang dua belas dan menyentuh mengenai masalah kepimpinan dengan memberi penekanan kepada kedudukan kepercayaan ini dalam ajaran Shiah Imamiah dan konsep-konsep yang mengandungi hubungkait dengan kepercayaan tersebut seperti Al-‘Isnah, al-Ruj’ah, al-Taqiah dan al-Mahdi.
Selanjutnya di dalam bab III, penulis telah memberi penekanan kepada sikap Shiah Imaniah terhadap sikap para sahabat nabi S.AW. Sikap terhadap para sahabat ini penulis tumpukan kepada sikap merekan terhadap khulafa’ al-Rashidin, isteri-isteri Rasulullah dan beberapa orang sahabat-sahabat yang lain. Penulis juga mengulas mengenai pandangan Shiah dan ahli al-Sunnah terhadap Ahli al- Bait Rasulullah S.A.W.
Manakala di dalan bab IV iaitu bab Laporan dan Analisa data, penulis mengemukakan pula hasil laporan penelitian dan analisa data yang berhubung kait dengan pandangan intelektual Islam mengenai Syiah ini, sikap mereka terhadap para sahabat, kesan-kesan dan pengaruh golongan ini kepada masyarakat dan bagaimana jawapan serta reaksi yang ditunjukkan oleh pihak ulamak Ahli Sunnah terhadap sikap Shiah Imamiah mengenai sahabat Rasulullah S.A.W.
Di dalam bab V yang merupakan bab penulis telah membuat kesimpulan yang membahaskan secara unum mengenai kajian ini. Disamping itu penulis telah mengemukakan beberapa saranan untuk dijadikan penelitian kepada pembaca semua.