Abstract:
Tengku Nor Husna Binti Tengku Jamil: Kesan Radio Tiga Seremban Dalam Perubahan Sosial Masyarakat Islam. Kertas Projek, Kuala Lumpur. Bahagian Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 1999.
Kewibawaan media massa dalam memberi perubahan positif kepada masyarakat adalah amat dialu-alukan. la harus di eksploitasikan sepenuhnya kerana in mampu memberi kesan yang besar dalam membentuk peribadi seseorang. Oleh yang demikian penulis memilih tajuk diatas sebagai satu kajian untuk membawa para pembaca mengetahui dan memahami keberkesanan media massa dalam memberi perubahan positif kepada masyarakat Islam.
Kajian ini dibahagikan kepada lima bab. Bab pertama merupakan pendahuluan yang membincangkan tentang latar belakang masalah kajian, sejarah penubuhan lokasi kajian yang terawal, pengertian tajuk dan perumusan masalah. Penulis juga turut menerangkan perkara-perkara yang berkaitan objektif kajian ini, skop kajian dan metodologi atau pendekatan-pendekatan yang digunakan dalam penyelidikan. Tajuk akhir dalam bab ini adalah susunan penulisan yang membicarakan pembahagian-pembahagian bab dalam buku penyelidikan ini.
Bab kedua mengemukakan aspek-aspek perubahan sosial yang dilihat dari pelbagai sudut. Dalam konteks perubahan sosial penulis mengutarakan konsep perubahan sosial yang dilihat dari kacamata barat dan dari kacamata Islam. Melalui teori perubahan sosial dari sudut barat diterangkan aspek-aspek yang terpenting merangkumi definisi, pandangan-pandangan ahli-ahli sosiologi barat dan teori-teorinya merangkumi semua sudut. Perbincangan tentang konsep perubahan sosial dari kacamata Islam pula memberi tumpuan kepada definisi dan perubahan sosial menurut Al-Quran disertakan juga pendapat-pendapat ahli sosiologi Islam yang terkenal. Disamping itu juga penulis menjelaskan peranan media massa sebagai salah satu aset yang utama dalam memberi perubahan kepada masyarakat khususnya masyarakat Islam.
Manakala dalam bab ketiga penulis membicarakan mengenai latar belakang kajian. Bab ini membincangkan sejarah penubuhan Radio Tiga Seremban serta objektif penubuhannya yang berkait rapat dengan masyarakat. Peranan-peranan yang telah dilaksanakan badan tersebut diketengahkan satu persatu. Penulis juga menjelaskan mengenai struktur organisasi dan sumber peruntukan kewangan yang diperolehi dari pelbagai sumber. Rancangan-rancangan yang disiarkan dalam pelbagai kategori dikemukakan sebagai pendedahan dan tidak diabaikan juga cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Radio Tiga Seremban dan langkah-langkah menanganinya.
Bab keempat merupakan bab analisa data yang membincangkan mengenai penerimaan masyarakat Islam terhadap Radio Tiga Seremban. Maklumat mengenai penerimaan masyarakat ini dapat diketahui melalui borang soal selidik yang melibatkan tiga bahagian soalan iaitu persoalan identiti, sambutan masyarakat terhadap Radio Tiga Seremban dan keupayaannya dalam memberi perubahan yang positif kepada masyarakat. Penulis telah membuat penilaian terhadap keupayaan Radio Tiga Seremban dalam memberi perubahan yang positif kepada masyarakat Islam berdasarkan borang tersebut.
Bab kelima merupakan bab terakhir penulisan ini. Penulis telah membuat kesimpulan keseluruhannya secara umum terhadap penerimaan masyarakat kepada Radio Tiga Seremban. Disamping itu penulis turut memberikan saranan dan cadangan kepada Radio Tiga Seremban dan kepada para pendengar Radio Tiga Seremban khususnya masyarakat Islam.