Abstract:
Ahmad Musaddad Taifor. Konsep Rasul Menurut Perspektif Islam dan Kristian. Kertas Projek. Kuala Lumpur: Bahagian Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1997.
Konsep rasul merupakan satu kosep yang penting dalam proses perkembangan sesebuah agama seperti Islam dan Kristian. Rasul adalah seseorang yang mendapat sesuatu perkara dengan tujuan supaya dia menyampaikan perkara tersebut kepada masyarakat tertentu.
Islam adalah agama samawi yang syumul dan sempurna yang meyakini rasul sebagai pembawa ajaran Islam untuk disampaikan kepada manusia. Walaubagaimanapun manusia dengan fitrah kejadiannya telah menggunakan akal dan fikiran untuk mencipta kefahaman sendiri tentang beragama hingga timbulnya agama-agama baru seperti agama Hindu, Buddha dan sebagainya. Agama-agama ini mempunyai konsep tersendiri hingga ia diterima oleh segolongan manusia. Begitu juga Kristian merupakan salah satu agama samawi yang turut mempercayai rasul-rasul sebagai pengembang ajaran agama.
Menyedari hakikat ini, penulis memilih untuk mengkaji dan menganalisa konsep kerasulan ini berdasarkan kepercayaan agama Islam dan kepercayaan agama Kristian. Penulis cuba menganalisis dan membentangkan konsep ini untuk menjadi suatu pendedahan kepada masyarakat agar ianya dapat difahami dan memberi pengetahuan tentang perkara tersebut dengan sebenarnya.
Hasilnya antara Islam dan Kristian terdapat suatu perbezaan yang sangat ketara, konsep kerasulan Islam adalah suatu konsep yang jelas, contohnya dari sudut perlantikannya, rasul-rasul Islam dilantik oleh Allah manakala rasul-rasul Kristian dilantik oleh Jesus Christ. Oleh itu rasul-rasul Kristian ini hanya layak digelar sebagai mubaligh dan bukan sebagai rasul.
Latihan ilmiah ini diharapkan akan dapat menjadi suatu panduan kepada pengkaji lain pada masa-masa akan datang. Semoga selepas ini masalah-masalah tentang konsep ini dapat ditambah dan diperbincangkan dengan lebih mendalam lagi.