Abstract:
Ahmad Basri Bin Abdullah: Ancaman Materialisme Terhadap Pemikiran Islam: Kajian Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Latihan Ilmiah: Kuala Lumpur; Akademi Pengajian Islam, Bahagian Pengajian Usuluddin, Universiti Malaya, 1998/1999.
Penulisan ini merupakan satu latihan ilmiah yang dipertanggungjawabkan oleh Akademi Pengajian Islam, Bahagian Pengajian Usuluddin, Universiti Malaya sebagai syarat untuk memperolehi Sarjana Muda Usuluddin di bawah bimbingan Pn. Fatimah Ali.
Materialisme merupakan satu ideologi ciptaan manusia yang asing dalam agama Islam. Fahaman ini menular dan meresapi jiwa umat Islam di seluruh dunia Islam dan ancamanya begitu jelas di dalam kehidupan umat Islam. Oleh itulah penulis berkecenderungan untuk memilih tajuk ini bagi menghuraikan konsep sebenar fahaman ini dan bertujuan memperjelaskan kepada semua pembaca bahawa ia adalah sesuatu yang asing dan tidak patut diamalkan.
Penulis memilih Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai tempat kajian kerana merasakan bahawa Kuala Lumpur merupakan tempat tumpuan semua bidang dan aspek kehidupan masyarakat Malaysia. Selain daripada itu keadaan masyarakat yang pelbagai ragam dan kerenah di ibukota metropolitan ini juga menarik perhatian penulis untuk mengemukakan kepada semua pembaca sejauh mana ancaman materialisme meresapi jiwa umat Islam dan memberi kesan yang mendalam sama ada di dalam pemikiran mahupun amalan masyarakat Islam.
Latihan ilmiah ini akan menggarapkan dan menghuraikan beberapa persoalan di kalangan masyarakat bagi mencapai matlamat iaitu mendedahkan kepada semua bahawa materialisme masih membelenggu dan mengancam umat Islam. Persoalan tersebut ialah:
1. Penghuraian tentang faktor kemasukkan materialisme dan saluran yang digunakannya di dalam dunia Islam.
2. Persoalan tentang sejauhmanakah Islam menolak materialisme dan bagaimanakah Islam memberikan alternatif kepada masyarakat untuk menyelesaikan segala permasalahan.
3. Persoalan tentang sejauhmanakah kewujudan materialisme dan bagaimanakah kedudukan umat Islam setelah fahaman ini bertapak di dalam pemikiran umat Islam di Malaysia.
4. Memandangkan Kuala Lumpur merupakan ibu negara Malaysia, bagaimanakah dari sudut pemusatan dari semua bidang kemasukan fahaman ini masih menjadi amalan dan mengancam pemikiran.
5. Mempersoalkan sejauh mana kerosakkan pemikiran masyarakat kesan daripada pengaruh dan ancaman materialisme dengan pendedahan penyakit sosial disebabkan dasar materialisme.
Oleh sebab itulah, penulis perlu membincangkan permasalahan ini bagi sama-sama menilai kedudukan aqidah dan pemikiran masyarakat Islam di Malaysia khususnya dan di dunia amnya.
Perkara-perkara yang dihuraikan dan dikupas oleh penulis akan dapati di dalam bab-bab yang terkandung dari penulisan ini. Semoga penulisan ini akan memberi sumbangan kepada kemurniaan pemikiran umat Islam dari terus dibelenggu ideologi selain dari Islam.