Abstract:
Mediasi adalah merupakan salah satu kaedah penyelesaian pertikaian alternatif yang telah diamalkan secara meluas di negara luar bagi isu komersial dan kekeluargaan di
samping kaedah-kaedah lain seperti arbitrasi dan mediasi-arbitrasi (arb-med). Disiplin
perbicangan kaedah Mediasi dilihat sesuai untuk diterapkan dalam penyelesaian tuntutan
mal di Mahkamah Syariah melalui sidang Majlis Sulh. Majlis Sulh telah dijalankan pada
tahun 2001 sehingga kini dengan merujuk kepada Manual Kerja Sulh dan Kaedah Tatacara Sulh Negeri-Negeri. Keberkesanan Majlis Sulh ini dapat dibuktikan dengan peratusan pencapaian penyelesaian kes secara perdamaian dan perbincangan dan sekaligus menyelesaikan isu tunggakan kes di Mahkamah Syariah. Walau bagaimanapun, kes yang dibawa ke Majlis Sulh masih tidak dapat menyelesaikan keseluruhan tuntutan yang telah difailkan oleh pihak-pihak akibat daripada faktor yang menyumbang kepada kegagalan proses Majlis Sulh. Pada masa yang sama, aturan bagi Majlis Sulh ini tidak jelas dari aspek aplikasi dan tatacara yang mengawal selia sesi perbincangan tersebut. Objektif kajian ini adalah untuk meneliti amalan Mediasi dalam suatu Majlis Sulh, iaitu suatu disiplin perbicangan dalam penyelesaian sesuatu pertikaian. Kaedah amalan mediasi dilihat bersesuaian dengan pengendalian Majlis Sulh terutama dalam penyelesaian konflik hadanah atau hak penjagaan anak selepas perceraian. Dengan pemahaman sebegini, pengamal undang-undang berusaha untuk melakukan penambahbaikan dalam Majlis Sulh dengan mencari kaedah terbaik untuk diikuti. Kajian ini menggunapakai rekabentuk kualitatif dalam konteks kajian sosio-perundangan (socio-legal research). Berdasarkan kepada pemerhatian fail kes tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang dan penelitian kaedah amalan mediasi yang dikendalikan oleh Mediator bertauliah, kajian ini akan dianalisa dengan cara deskriptif. Hasil kajian mendapati bahawa pengendalian Majlis Sulh yang menjadi sebahagian daripada tatacara penyelesaian kes di Mahkamah Syariah selaras dengan kaedah amalan mediasi. Tetapi, dalam konteks amalan kaedah mediasi, beberapa penambahbaikan harus dilakukan untuk memantapkan dan menjadikan Majlis Sulh sebagai alternatif terbaik bagi penyelesaian tuntutan hak penjagaan anak.