Abstract:
Adab merupakan suatu perkara yang amat dititikberatkan oleh para ulama` dalam mereka menuntut ilmu Allah SWT. Berdasarkan inilah, kita telah menemui banyak karangan para ulama` yang menulis tentang adab-adab menuntut ilmu. Adab hamalat al-Quran juga telah disusun secara khusus oleh para ulama` kepada mereka yang ingin menghafaz al-Quran yang membincangkan tentang adab-adab dalam menghafaz al-Quran sama ada adab itu bersangkut paut secara khusus dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW atau manusia dan yang lainnya secara umum. Oleh itu, objektif utama kajian ini dijalankan adalah untuk menganalisa berkaitan adab-adab hamalat al-Quran yang telah disusun tersebut. Dalam menjalankan kajian ini, pengkaji telah menggunakan kaedah kepustakaan dengan merujuk banyak kitab-kitab dan kajian yang telah ditulis oleh para ulama‘ Islam seterusnya melakukan pembahagian mengikut item-item yang sesuai agar lebih jelas pembahagian adab-adab tersebut. Bagi mendapatkan hasil kajian yang menepati tajuk kajian yang dijalankan, seramai 77 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar semester dua lelaki dan perempuan di Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) terlibat sebagai responden bagi mendapatkan maklumbalas berkaitan pengamalan adab hamalat al-Quran. Hasil data yang diperolehi telah dianalisis dengan menggunakan perisian Statistic Package for Social Science (SPSS). Secara keseluruhannya, kajian yang dijalankan ini telah mencapai objektif kajian yang telah ditetapkan oleh penulis iaitu untuk mengkaji pengamalan adab hamalat al-Quran di kalangan pelajar IQDAR.