Abstract:
Kajian ini bertujuan untuk mengetahui tahap dan perbezaan kemahiran insaniah dari segi faktor komunikasi, kerja berkumpulan, etika dan moral dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar yang mengikuti kursus kokurikulum di sebuah IPT berteraskan Islam. Kajian ini merupakan kelangsungan dakwaan kurangnya penekanan diberikan untuk menyemak kewujudan kandungan maqasid Syariah dan ruhnya dalam sistem pendidikan terutamanya yang melibatkan aplikasi kemahiran insaniah secara khusus dalam kursus kokurikulum. Kajian kuantitatif berbentuk kajian tinjauan ini menggunakan soal selidik yang mengandungi empat konstruk kemahiran insaniah. Kajian rintis telah dijalankan terhadap 30 responden dengan nilai kebolehpercayaan instrumen adalah alpha = 0.889. Sampel kajian terdiri daripada 136 orang pelajar ijazah sarjana muda kursus kokurikulum yang dipilih berdasarkan teknik persampelan rawak mudah. Data yang diperolehi dianalisis secara deskriptif (min, sisihan piawai, kekerapan dan peratusan) dan inferensi (analisis ujian-t) dengan menggunakan aplikasi SPSS v23. Hasil dapatan kajian menunjukkan tahap kemahiran insaniah pelajar kursus kokurikulum secara keseluruhannya tinggi iaitu min 3.69, dengan kemahiran etika dan moral merupakan faktor paling dominan (min 3.72) berbanding kemahiran insaniah yang lain.Dapatan analisis ujian-t menunjukkan bahawa secara statistiknya tidak terdapat perbezaan tahap kemahiran insaniah berdasarkan gender berdasar kursus kokurikulum yang dipilih oleh pelajar. Kemahiran insaniah secara amnya perlu diterapkan dalam semua bidang pengajian di IPT khususnya dalam kursus kokurikulum kerana terdapat panduan jelas mengenai kerangka maqasid Syariah dalam sistem pendidikan malah ia boleh menjadi panduan kepada sektor pendidikan supaya terbina di bawah maqasid Syariah dan ruhnya.