Abstract:
Kertas kerja ini berjudul “Uslub Al-Qasr Di Dalam Surah Al-Baqarah; Suatu Kajian Analisis Balaghah”. Sebenarnya agar sukar untuk mendapatkan suatu kitab ataupun penulisan tentang ‘uslub al-qasr’ yang menumpukan kepada satu-satu surah di dalam Al-Quran kerana kebanyakan rujukan yang ditemui lebih membicarakan ‘uslub al-qasr’ secara umum sama ada dalam Al-Quran, Hadith-hadith Nabi SAW dan syair-syair Arab. Justeru itu, fokus utama kertas ini adalah untuk meneliti makna yang tersurat dan tersirat ayat-ayat di dalam Surah Al-Baqarah yang mengandungi ‘uslub al-qasr’ ataupun metode pengkhususan. Untuk itu, penulis telah menimbulkan beberapa persoalan untuk dikaji, antaranya: Berapakah cara ataupun bentuk ‘uslub al-qasr’? Apakah keistimewaan ‘uslub al-qasr’ di dalam Bahasa Arab? Apakah bentuk ‘uslub al-qasr’ yang paling kerap ditemui di dalam Surah Al-Baqarah? Selain daripada itu, matlamat penulisan ini juga adalah untuk menonjolkan kekuatan ayat yang mengandungi ‘uslub al-qasr’ dari segi rangkuman maknanya dan menjelaskan tahap keberkesanannya yang mendalam. Turut dibentangkan dalam penulisan ini pendapat-pendapat ulama, mufassirin dan pakar ilmu balaghah. Untuk merealisasikan objektif penulisan kertas kerja ini, penulis menggunakan pendekatan induktif analisis, iaitu dengan membaca secara mendalam dan menentukan ‘uslub al-qasr’ yang terdapat dalam surah ini, dan mengumpul maklumat tentangnya, kemudian menganalisis maklumat melalui pembentangan dan perbincangan. Penulis membuat kesimpulan bahawa keajaiban gaya retorik bagi ‘uslub al-qasr’ adalah suatu keajaiban yang hebat yang tidak boleh dihadkan mahupun dihitung. Namun begitu, penulis turut mendapati bahawa tidak semestinya kewujudan salah satu ciri ‘uslub al-qasr’ bermakna ia memainkan peranan ‘mengkhususkan’, malahan kadang-kadang peranan ‘pengkhususan’ tidak wujud dalam ayat tersebut walaupun ciri-cirinya wujud. Ayat-ayat Al-Quran di dalam Surah Al-Baqarah yang mempunyai ‘uslub al-qasr’ yang datang dalam bentuk ‘al-nafyu wa al-istisna’ ataupun ‘penafian dan pengecualian’ adalah yang terbanyak berbanding bentuk-bentuk ‘uslub al-qasr’ yang lain.