Abstract:
Hussain Nasir ibn Muhammad Taib al-Mas‘udi al-Banjari atau lebih dikenali sebagai Tuan Hussain Kedah (m. 1935) merupakan antara ulama Kedah yang terkemuka dan termasyhur pada awal abad ke-20 Masihi. Ketokohannya dalam pelbagai aspek ilmu duniawi dan ukhrawi serta kegigihannya dalam mengembangkan pengajian Islam telah melonjakkan kewibawaannya sebagai salah seorang ilmuwan dan agamawan penting di utara Semenanjung Tanah Melayu yang gigih menyumbang dan berbakti dalam mendidik dan membangunkan masyarakat sepanjang hayatnya. Bahkan, legasinya masih berkesinambungan dalam masyarakat pada hari ini menerusi buah karyanya yang dipelajari selain sekolah yang diasaskannya dan diteruskan oleh anak cucunya. Secara khasnya, kertas kerja ini terfokus untuk membincangkan ketokohan Tuan Hussain Kedah dalam bidang hadis. Isu berkaitan dengan keutamaan, peranan, penulisan dan metodologi beliau terhadap hadis dan ilmunya yang berlandaskan kepada contoh dan petikan daripada sejumlah karya beliau ini diharapkan dapat memberikan gambaran yang jelas dan menyeluruh mengenai pemahaman dan amalannya yang harmonis terhadap hadis sebagai sumber hukum yang kedua terpenting dalam agama Islam.