Abstract:
Ilmu qiraat adalah ilmu yang sangat berkait rapat dengan al-Quran secara langsung. Penyelidikan berkenaan ilmu qiraat ini dijalankan disalah sebuah institusi pengajian tinggi di Kedah iaitu Institut al-Quran Darul Aman. Di institusi tersebut, para pelajar diwajibkan mengambil kursus qiraat dalam pengajian mereka. Tinjauan awal mendapati bahawa para pelajar secara umumnya tidak menguasai ilmu ini disebabkan faktor-faktor tertentu. Oleh itu, kajian yang dijalankan ini bertujuan menganalisis penguasaan ilmu qiraat dalam kalangan pelajar Institut al-Quran Darul Aman sama ada para pelajar tersebut dapat menguasai dengan baik, sederhana atau langsung tidak menguasai ilmu qiraat ini. Penyelidikan ini cuba untuk merungkai permasalahan tersebut melalui kajian lapangan dengan mengemukakan beberapa soalan kepada para pelajar yang mengambil kursus ini sebagai subjek asas mereka di samping menyoroti kajian-kajian ilmiah yang lepas berkaitan ilmu qiraat dari sumber pelbagai jurnal, tesis, kertas kerja dan buku. Hasil kajian menunjukkan bahawa tahap penguasaan para pelajar jurusan bidang ilmu qiraat adalah pada contohnya asal usul para imam dan usul bacaan mereka. Meskipun begitu, tahap penguasaan majoriti pelajar berkenaan ilmu ini adalah sangat baik. Pengkaji menyarankan agar para pelajar yang mengambil jurusan ini supaya terus menambah pengetahuan sedia ada berkenaan ilmu ini agar ianya kukuh terpahat di dalam dada para pelajar. Pengukuhan pengetahuan berkenaan ilmu ini secara tidak langsung akan membantu para pelajar untuk memperkukuh hafalan al-Quran yang sedia ada di dalam dada mereka.