Abstract:
Agihan zakat kepada asnaf fakir dan miskin bertujuan untuk membasmi kefakiran dan kemiskinan. Maqasid al-Shari‘ah merupakan matlamat untuk menghasilkan kebaikan dan menolak keburukan. Zakat berkait rapat dengan maqasid al-Shari‘ah sebagai satu medium jaminan keselamatan sosial bagi golongan fakir, miskin dan yang memerlukan. Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis merupakan satu sektor perkhidmatan dalam membangunkan ekonomi umat Islam khususnya di Perlis. Walau bagaimanapun, masih terdapat kemiskinan di negeri ini disebabkan urusan pengagihan zakat yang masih kurang efisien kerana tidak menepati maqasid alShari‘ah secara menyeluruh. Oleh yang demikian, objektif kajian ini adalah untuk mengupas mengenai hukum dan maqasid al-Shari‘ah berkaitan pengagihan zakat kepada asnaf fakir dan miskin menurut Islam, menganalisis bentuk pengagihan zakat kepada asnaf fakir dan miskin oleh MAIPs menurut maqasid al-Shari‘ah dan mencadangkan bentuk pengagihan zakat kepada fakir dan miskin oleh MAIPs menurut maqasid al-Shari‘ah. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan menggunakan pendekatan kajian kes di mana data kajian ini dikumpul melalui dua sumber iaitu sumber primer dan sekunder. Data primer melibatkan temu bual semi struktur bersama pihak MAIPs dan pakar zakat di Malaysia. Manakala, data sekunder pula melibatkan sumber-sumber seperti buku-buku ilmiah, artikel jurnal, tesis dan disertasi serta bahan lain yang berkaitan dengan kajian. Data-data ini dianalisis semula menggunakan pendekatan analisis kandungan dan analisis dokumen. Hasil kajian mendapati bahawa berlakunya peningkatan bilangan golongan asnaf fakir dan miskin di negeri Perlis. Selain itu, kajian turut menemui bahawa pengagihan zakat kepada asnaf fakir dan miskin oleh MAIPs adalah tertumpu kepada al-Daruriyat sahaja, tanpa adanya peningkatan dalam elemen-elemen yang lain iaitu al-Hajiyat dan alTahsiniyat. Kajian ini menggesa pihak MAIPs untuk mengambil kira elemen-elemen tersebut dalam pengagihan zakat supaya dapat menepati kesemua elemen maqasid alShari‘ah secara holistik. Kajian ini memberi sumbangan kepada pihak MAIPs, institusi zakat dan institusi fatwa dalam meneliti semula konsep pengagihan zakat kepada asnaf fakir dan miskin sesuai menurut kesemua elemen dalam maqasid al Shari‘ah.