dc.description.abstract |
Fasal pertama berkenaan persoalan ketuhanan di dalam Surah Al-Kahfi dari sudut beriman dengan Allah Ta'ala dan kewujudannya serta perkara yang berkaitan dengannya seperti nama-nama dan sifat-sifat Allah S.W.T. dan perkara yang harus atau sebaliknya serta perkara yang mustahil ke atasnya seperti mensucikan Allah dari segala yang menyekutukannya, dari mempunyai anak atau mempunyai tempat atau posisi yang tertentu sebagaimana keadaan makhluk.
Fasal kedua membincangkan tentang persoalan beriman kepada para malaikat dan perkara yang berkaitan dengannya seperti pengertian siapa malaikat, sifat dan tugas mereka, keistimewaan dan perbezaan antara mereka dan jin serta kesan keimanan kepada malaikat dalam kehidupan Muslim.
Fasal ketiga membincangkan persoalan kitab-kitab yang membicarakan konsep ketuhanan dari sudut kefahaman dan hukum yang berkaitan, serta definisi Al-Quran Al-Karim dan kedudukannya di antara kitab-kitab ketuhanan yang lain dan kepentingan Al-Quran dalam kehidupan Muslim.
Fasal keempat pula memfokuskan persoalan yang berkaitan dengan kenabian seperti beza antara nabi dan rasul, apa yang wajib ke atas para rasul, apa yang mustahil bagi mereka dan apa yang harus, dengan memberi contoh beberapa mukjizat yang telah dikurniakan Allah kepada mereka seperti Saidina Adam A.S., Saidina Musa A.S. dan Nabi kita Saidina Muhammad S.A.W. sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Kahfi.
Fasal ini juga membincangkan persoalan mukjizat dan karamah serta perbezaan antara keduanya dan dalil-dalil yang menunjukkan kepada keduanya. Juga penerangan berkenaan kedudukan karamah di dalam ayat-ayat Surah Al-Kahfi yang menceritakan tentang Ashabul Kahfi dan pengembaraan Nabi Musa A.S. dengan seorang hamba Allah yang saleh.
Fasal kelima membincangkan persoalan yang berkaitan dengan rukun iman yang keenam iaitu beriman dengan hari akhirat dari sudut nama-nama serta dalil-dalil yang menunjukkan kepadanya, di samping tanda-tanda akan berlakunya hari akhirat sama ada tanda yang kecil atau besar serta kronologi penting peristiwa akhirat itu nanti iaitu kebangkitan semula dan perhimpunan seluruh makhluk, pengadilan dan timbangan amalan, juga segala yang berkaitan dengan syurga dan neraka serta nama dan dalil yang menguatkan bicara tentang keduanya.
Fasal keenam membincangkan persoalan rukun iman yang keenam iaitu beriman dengan ketentuan baik dan buruk (qadha' dan qadar) dari sudut definisi dan perbezaan keduanya, juga persoalan yang menyentuh perbuatan individu sama ada perlakuannya dipaksa atau rela dan sama ada kerana mendapat petunjuk atau kesesatan.
Di penutup pula dinyatakan beberapa dapatan kajian yang penting serta cadangan yang difikirkan perlu. |
en_US |