Abstract:
Kualiti serta produktiviti sesebuah sekolah umumnya bergantung kepada pencapaian cemerlang yang diperolehi oleh para pelajarnya dan pencapaian tersebut berhubungkait dengan komitmen dan prestasi kerja yang ditunjukkan oleh tenaga pengajarnya. Permasalahan komitmen kerja sering dikaitkan dengan elemen seperti gaji, kenaikan pangkat, penyeliaan, rakan sekerja dan faedah sampingan yang diperolehi dari organisasi. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti hubungan komitmen kerja dan prestasi kerja dalam kalangan para guru sekolah agama rakyat negeri Kedah. Seramai 62 orang guru dari 11 buah sekolah agama rakyat di daerah Sungai Petani, Gurun, Yan, Alor Setar, Pendang, Baling dan Kulim telah dipilih sebagai responden. Reka bentuk kajian adalah kajian deskriptif yang berbentuk tinjauan dengan menggunakan borang soal selidik bagi mengumpul data. Soal selidik terbahagi kepada tiga bahagian iaitu maklumat responden, faktor komitmen kerja dan prestasi kerja. Hasil kajian mendapati bahawa hubungan korelasi antara komitmen dan prestasi kerja pada tahap sederhana dengan nilai r = -0.30 pada aras p > 0.05. Kajian ini mendapati bahawa pihak majikan perlu mencari alternatif dan inisiatif yang pelbagai bagi menyemai dan menambah minat mengajar dalam diri para guru.