Abstract:
Selain ibadah zakat, wakaf juga merupakan instrumen kewangan dalam menjana ekonomi dan syiar Islam termasuklah dalam aspek pendidikan. Pengurusan wakaf yang mempunyai urus tadbir dan tatakelola yang sistematik akan berupaya menghasilkan pulangan yang optimum sekaligus meningkatkan ekonomi umat Islam. Di Malaysia, pengurusan wakaf adalah tertakluk kepada enakmen yang ditetapkan mengikut Majlis Agama Islam Negeri masing-masing. Justeru, sejajar dengan pemerkasaan konsep Malaysia Madani yang memetakan strategi tatakelola dan pentadbiran secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya yang berteraskan nilai dan etika, kajian ini akan menelusuri mekanisma pengurusan wakaf pendidikan dan kaitannya dengan konsep madani yang dilaksanakan oleh Wakaf Pulau Pinang (WPP). Selaku institusi yang sah dan diiktiraf sebagai pengendali harta wakaf, kajian ini juga akan mengenalpasti isu-isu terutamanya yang melibatkan perundangan memandangkan terdapat harta wakaf yang digunakan bagi tujuan pendidikan oleh WPP. Metodologi kajian dilakukan kaedah kualitatif dengan mengumpulkan data melalui kajian kepustakaan dan kajian lapangan yang menggunakan kaedah temu bual t idak berstruktur. Hasil kajian menunjukkan terdapat pelbagai mekanisma dan kaedah yang dilaksanakan oleh WPP bagi memastikan urus tadbir harta wakaf secara telus dan berintergriti.