Abstract:
Hubungan antara politik dan pasaran saham sentiasa menjadi perhatian di seluruh dunia dan banyak diperdebatkan dalam dunia akademik seperti kajian-kajian pengurusan, kewangan, perakaunan, perniagaan, ekonomi dan sains sosial. Kesan dari hubungan tersebut masih belum dapat digeneralisasikan untuk dijadikan panduan kepada pihak yang berkepentingan seperti pelabur, pemegang saham, syarikat dan kerajaan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk mengkaji secara kritikal literatur sedia ada mengenai kesan hubungan politik terhadap prestasi saham di bursa saham di tiga negara ASEAN (Malaysia, Thailand dan Indonesia). Penelitian ini secara khususnya akan menilai dari sudut teori dan empirikal kajian berkaitan hubungan politik dengan prestasi saham bagi menentukan jurangyang ada untuk kajian di masa akan datang. Kajian ini telah mengenalpasti beberapa perkara penting dari sudut teori, operasi, pengukuran, kontekstual dan metodologi dalam kajian empirikal. Selain  itu,  hasil kajian literatur  terdahulu  masih  belum  dapat  untuk digeneralisasikan  dalam  konteks,  sektor dan  populasi  yang  lebih besar. Tambahan lagi, kajian ini telah mengemukakan pelbagai saluran penyelidikan bagi  tujuan  memudahkan  pemahaman  yang  lebih  mendalam  berkaitan hubungan  politik  dengan  prestasi  saham.  Berdasarkan  kajian  ini  dapat dijelaskan bahawa penemuan kajian terdahulu mengenai hubungan antara firma yang berkaitan politik dan prestasi saham masih belum inklusif dan tidak konsisten. Akhir sekali, dibincangkan implikasi kajian ini ke atas dasar, teori dan praktikal.