Abstract:
Tafsir Nur al-Ihsan merupakan sebuah karya dalam bidang tafsir al-Quran yang ditulis oleh Umar, M. S. Karya ini melengkapi huraian dan tafsiran 30 juzuk al-Quran bermula surah al-Fatihah hingga surah al-Nasa dan ia menjadi rujukan, bahan pengajaran dan pembelajaran serta bahan bacaan masyarakat. Sungguhpun begitu, berdasarkan bacaan awal pengkaji didapati bahawa penggunaan tanda-tanda baca yang diaplikasi oleh penulis ketika menghasilkan Tafsir Nur al-Ihsan ini sebahagiannya kurang tepat. Hal ini menyebabkan pembaca menjadi keliru dengan tafsiran dan ulasan yang pengarang berikan sekaligus menjadikan karya ini kurang menarik untuk dibaca dan difahami. Oleh itu, kajian yang dijalankan ini bertujuan mendedahkan hal tersebut serta memberi cadangan tanda-tanda baca yang lebih sesuai digunakan. Dari segi metodologi kajian, penyelidikan ini mengaplikasi kaedah kajian teks dan kajian kepustakaan sepenuhnya dalam mengenalpasti dan mendedahkan tanda-tanda baca tersebut. Kajian ini memperlihatkan bahawa tanda-tanda baca yang diguna oleh Umar, M. S. dalam Tafsir Nur al-Ihsan ialah tanda koma (,), noktah (.), tanda sempang (-), titik bertindih (:), tanda soal (?), tanda seru (!), angka 2, angka 3 dan tanda kurung ( ) yang sebahagiannya digunakan secara tidak tepat. Diharapkan kajian ini dapat memberi cadangan tanda-tanda baca yang lebih sesuai sekaligus menghilangkan kekeliruan masyarakat ketika membaca Tafsir Nur al-Ihsan.