Abstract:
Kejayaan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang melaksanakan wakaf pendidikan didorongi oleh pelbagai faktor seperti kebolehpercayaan, sokongan masyarakat, pemasaran dan aktiviti membudayakan amalan wakaf. Selain itu, wakaf juga merupakan satu elemen dalam membantu ekonomi umat Islam khususnya dalam bidang pendidikan dengan menawarkan pelbagai manfaat dari sudut mengurangkan kadar yuran dan biasiswa kepada para pelajar. Manfaat ini secara tidak langsung turut dirasai oleh golongan bukan muslim kesan daripada pelaksanaan wakaf pendidikan ini. Kos pengurusan sesebuah IPT merupakan salah satu isu yang dibincangkan di dalam kajian ini memandangkan kos operasi yang melibatkan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) adalah tinggi. Di samping itu, kebergantungan IPTA terhadap dana kerajaan juga dibincangkan memandangkan dana yang diperolehi oleh sesebuah IPT boleh berubah mengikut suasana politik dan ekonomi. Sumbangan kepakaran dari sudut urus tadbir dan kaedah kolaborasi turut memberikan impak yang positif terhadap wakaf IPT. Faktor undangundang sedia ada turut memainkan peranan kerana perbezaan yang ada pada setiap negeri dari sudut perlaksanaan wakaf menyebabkan sesetengah IPT sukar untuk melaksanakan agenda dana wakaf IPT. Kajian ini mengkaji faktor-faktor kejayaan kolaborasi wakaf serta kesan kolaborasi strategik wakaf. Kajian ini turut mengkaji faktor yang mempengaruhi dana wakaf pengajian tinggi dan mencadangkan model kolaborasi berkaitan dana wakaf pengajian tinggi. Kajian ini menggunakan data kualitatif dan sumber data diperolehi daripada temubual yang dijalankan di Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Institusi Wakaf Korporat, Institusi Wakaf milik Kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Selain itu, dapatan kajian juga diperolehi daripada kajian teks seperti artikel, dokumen dan buku-buku yang berkaitan. Dapatan kajian ini mendapati faktor kejayaan kolaborasi wakaf dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya kejayaan tadbir urus, kebolehpercayaan, pengurusan wakaf, sokongan kerajaan, kolaborasi dan kerjasama. Kajian ini seterusnya mampu untuk memberi sumbangan ilmu pengetahuan berkaitan bidang wakaf khususnya terhadap IPT yang ingin menjalankan dana wakaf melalui instrumen kolaborasi dan kerjasama antara MAIN dan pihak-pihak luar.