Abstract:
Kajian ini berkaitan konsep syafaat di dalam al-Quran menurut perspektif Tafsiral-Jamili Ahkam al-Quran karya Imam Al-Qurtubi dan Tafsir Al-Azhar karya Profesor Dr. Haji Abdul Karim Malik Amrullah (Buya Hamka). Kedua-dua ahli tafsir ini telah menggunakan kaedah tahli>li>, tetapi terdapat perbezaan dalam pentafsiran yang dihasilkan. Imam Al-Qurtubi lebih cenderung kepada perbahasan hukum hakam fiqah, sedangkan Buya Hamka lebih cenderung kepada perbahasan sastera dan kemasyarakatan. Syafaat merupakan suatu perbahasan penting, kerana berkaitan dengan akidah sehingga umat Islam perlu memahaminya dengan baik, kerana akidah adalah ukuran benar atau tidaknya dari iman seseorang. Ada yang mengatakan syafaat sebagai suatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Pendapat lain membenarkan adanya syafaat, namun mereka masih memperdebatkan bentuk-bentuk syafaat itu sendiri, sama ada diberikan kepada pelaku dosa besar, atau diberikan untuk menambah kemuliaan orang yang bertaqwa. Oleh itu, kajian ini dilakukan bertujuan untuk menjelaskan konsep syafaat menurut perspektif Imam Al-Qurtubi dan Buya Hamka serta mengenal pasti perbezaan konsep syafaat antara kedua ahli tafsir tersebut. Kajian ini menggunakan metodologi kajian perpustakaan dengan kaedah deskriptif, analitik dan komparatif dalam menganalisis data. Hasil kajian menunjukkan terdapat persamaan antara Imam Al-Qurtubi dan Buya Hamka bahawa syafaat akan diberikan kepada sesiapa yang Allah kehendaki, sama ada bagi pelaku dosa besar atau untuk meninggikan darjat orang yang bertaqwa. Imam Al-Qurtubi dan Buya Hamka sepakat bahawa syafaat iaitu pengaruh atau pertolongan di akhirat yang akan diberikan oleh orang yang mempunyai kedudukan mulia di sisi Allah SWT kepada orang-orang di bawahnya. Pentafsiran Imam Al-Qurtubi dan Buya Hamka mempunyai persamaan dari segi konsep, tetapi berbeza dari segi kandungan dan pelaksanaannya. Dalam mentafsirkan ayat-ayat syafaat di dalam al-Quran, Imam Al-Qurtubi lebih cenderung menggunakan hadis dan riwayat-riwayat yang berkaitan. Sedangkan Buya Hamka lebih cenderung menggunakan pandangan akal sendiri dan menghubungkaitkan dengan masalah yang berlaku di dalam masyarakat. Kajian ini diharap dapat menyumbang dalam menjelaskan konsep syafaat dalam kalangan umat Islam dan membetulkan pandangan-pandangan yang salah dalam perkara tersebut.