Abstract:
Kajian ini membincangkan dakwah strategik kepada pemerintah: analisis swot dakwah Nabi Ibrahim as. dan Nabi Musa as. di dalam al-quran. Signifikan kajian ini adalah kerana dakwah kepada pemerintah sering dilihat daripada aspek mengajak dan menyampaikan ilmu sahaja tanpa mengambilkira faktorfaktor yang menjayakan atau menggagalkan dakwah secara mendalam berdasarkan panduan al-Quran. Berbagaibagai cara dakwah dilakukan umat Islam bagi mengatasi penyalahgunaan kuasa dan penindasan pemerintah kepada rakyatnya. Ayat-ayat al-Quran berkaitan dakwah Nabi Ibrahim as. dan Nabi Musa as. telah dikenalpasti. Dakwah strategik kedua-dua nabi disaring dan dikategorikan merangkumi aspek-aspek analisa SWOT (Kekuatan, Kelemahan, Peluang dan Ancaman). Objektif kajian ini adalah untuk menjelaskan maksud dakwah strategik dari al-Quran, mengenalpasti ayat-ayat al-Quran, menganalisis dakwah Nabi Ibrahim as. dan Nabi Musa as. kepada pemerintah menggunakan analisis SWOT. Kajian ini menggunakan metodologi perpustakaan dan penganalisaan data kualitatif secara induktif iaitu pengumpulan penemuan-penemuan kecil yang akhirnya menghasilkan satu gagasan. Skop yang diberi perhatian ialah dakwah kepada pemerintah, tumpuan kepada kaedah dakwah Nabi Ibrahim as. dan Nabi Musa as. menggunakan analisis SWOT. Hasil kajian ini menunjukkan, Nabi Ibrahim as. dan Nabi Musa telah dipersiapkan dengan beberapa ujian agar memiliki kekuatan diri, menggunakan peluang bagi mengatasi masalah dalaman dan segala ancaman musuh ketika menghasilkan gagasan dakwah kepada pemerintah. Nabi Ibrahim as. memiliki sembilan kekuatan (9S), tiga peluang (3O), satu kelemahan (1W) dan lima ancaman (5T). Manakala Nabi Musa as. memiliki enam belas kekuatan (16S), dua peluang (2O), tiga kelemahan (3W) dan lima ancaman (5T). Dari semua maklumat ini, nabi Ibrahim as. dan nabi Musa as. telah membuat perancangan dakwah yang tepat kepada pemerintah pada zaman mereka. Hasil kajian ini diharapkan agar dapat membantu para pendakwah, masyarakat dan alim ulama merancang rapi dari aspek dalaman diri dan luaran yang ada pada anasir dakwah (pemerintah) serta persekitaran, agar dakwah dapat mencapai matlamat yang digariskan. Dengan kajian ini juga membolehkan para petugas dakwah melaksanakan dakwah kepada pemerintah dengan lebih berkesan dan menghasilkan natijah dakwah yang segar serta mudah diterima mereka.