Abstract:
Orang Islam di Malaysia sangat terpengaruh dengan cerita-cerita berkaitan hantu yang telah banyak dipaparkan melalui drama dan filem di kaca televisyen. Drama-drama yang disiarkan ini diibaratkan cendawan tumbuh selepas hujan setelah mendapat sambutan yang begitu tinggi daripada penonton. Sebenarnya kepercayaan hantu dalam kalangan masyarakat beragama Islam hanyalah mitos dan begitu juga di kalangan masyarakat Cina. Ianya digambarkan sama seperti apa yang difilemkan. Sebagai orang Islam, kita wajib mempercayai kewujudan hantu disebabkan ia berasal daripada golongan jin dan disebut di dalam al-Quran. Namun, mempercayai bahawa hantu boleh memberi mudarat dan manfaat kepada manusia adalah tidak dibenarkan.
Lantaran itu, kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti kepercayaan-kepercayaan berkaitan hantu yang wujud di kalangan masyarakat Cina. Seterusnya, untuk mengenalpasti akidah hantu yang sebenar yang dipegang agama Tao serta mengkritik kepercayaan hantu dalam agama tersebut berdasarkan al-Quran dan hadis. Kajian ini menggunakan kaedah temu bual secara bersemuka bersama tiga orang sifu agama Tao. Di samping itu, kajian ini juga telah membuat rujukan terhadap buku-buku yang terdapat di perpustakaan contohnya buku berkaitan akidah, tafsir, dan hadis serta buku mengenai agama Tao dalam masyarakat Cina. Dapatan kajian menunjukkan bahawa hantu mengikut kefahaman dan kepercayaan Tao mempunyai kuasa dan kekuatan jika mempercayainya manakala sebahagian daripada masyarakat agama tersebut pula tidak menghiraukan mengenai kepercayaan ini. Perkara ini bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah kerana mempercayai hantu adalah suatu perkara yang syirik. Pada hakikatnya hantu berasal daripada jin dan syaitan dan ini telah dijelaskan al-Quran dan Sunnah.