dc.description.abstract |
Ini adalah satu kajian terhadap golongan OKU dalam permasalahan syarak dan peruntukan Enakmen Keluarga Islam khusus dalam bidang perkahwinan, pembubaran perkahwinan dan Enakmen Jenayah (Syariah) di negeri Perak. Kajian ini bagi mengenalpasti ketetapan hukum dan peruntukan enakmen negeri Perak terhadap golongan OKU, dan menganalisis peruntukan undang-undang di Mahkamah negeri Perak bagi melihat sejauh mana keselarasan di antara hukum syarak dan undangundang yang ditetapkan. Bagi mencapai tujuan tersebut, penulis menggunakan kajian kualitatif untuk mendapatkan maklumat berkaitan hukum syarak dan peruntukan undang-undang bagi golongan OKU ini secara langsung dari sumber asal iaitu kitabkitab fiqh yang muktabar dan Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 serta Enakmen Jenayah (Syariah) 1992. Kajian ini dapat memberi manfaat kepada institusi kehakiman, pengamal dan penggubal undang-undang serta NGO yang terlibat sebagai sumber hukum berkaitan kekeluargaan dan jenayah golongan OKU. Kajian ini juga hanya memfokuskan 3 kategori OKU sahaja iaitu OKU pendengaran, penglihatan dan pertuturan. Analisis data ini menunjukkan bahawa segala permasalahan berkaitan aspek hukum syarak telah dijawab oleh para ulamak, namun dari sudut pelaksanaannya dalam undang-undang masih samar meskipun ianya ada. Kajian ini akhirnya menyarankan supaya Institusi Penggubal Enakmen agar menggubal enakmen dengan jelas kaedah pelaksanaan secara terperinci bagi memudahkan orang ramai mendapatkan pendedahan hukum dan memahami kaedah pelaksanannya. Kajian ini juga mencadangkan agar kajian berkaitan golongan OKU ini diperluaskan kepada sudut kajian yang pelbagai seperti kajian terhadap semua jenis kategori OKU dalam permasalahan syarak dan perundangan, kajian perbandingan di antara negeri supaya dapat mengenalpasti sejauh mana golongan ini memperoleh keutamaan dalam perundangan. Kajian kuantitatif juga boleh dilaksanakan bagi melihat kefahaman golongan OKU terhadap masalah hukum syarak dan peruntukan undang-undang terhadap mereka. |
|