Abstract:
Pembelajaran dan pengajaran solat memasuki dimensi baru apabila kepesatan pembangunan teknologi maklumat dimanfaatkan sepenuhnya. Kajian mengenai solat juga dilihat semakin luas apabila skop kajian mengenai perlaksanaan solat ketika sakit mendapat tempat dalam kalangan pengkaji tempatan yang berkolaborasi antara satu bidang dengan bidang yang lain. Kajian ini bertujuan untuk melihat objektif, reka bentuk dan kandungan aplikasi digital dalam kajian-kajian yang pernah dijalankan bagi menyesuaikan kajian pembangunan pendidikan kesihatan digital solat pesakit. Bagi mencapai objektif kajian ini, satu tinjauan literatur sitematik dijalankan. Sebanyak 422 artikel, tulisan dan kajian yang telah ditemui yang membincangkan mengenai perlaksanaan modul solat. Saringan dan analisis dijalankan bagi melihat kriteria yang diperlukan dalam kajian pembentukan aplikasi digital solat pesakit yang dijalankan. Hasil tinjauan literatur sistematik mendapati sebanyak enam kajian secara khusus pernah dijalankan dalam membangunkan aplikasi digital solat dalam keadaan sakit melalui modul solat yang direka bersesuaian dengan situasi sasaran objektif kajian masing-masing.