Abstract:
Ulama Melayu Nusantara telah bergiat cergas dalam menghasilkan karya dalam pelbagai bidang pengajian Islam seperti fiqah, hadith dan tafsir alQuran. Salah satu karya yang ditulis dalam bidang tafsir al-Quran tersebut ialah Tafsir Nur al-Ihsan yang dihasilkan oleh Umar, M. S. Karya ini menjadi rujukan secara meluas oleh masyarakat dalam memahami isi kandungan alQuran. Walaupun begitu, didapati terdapat pengkaji-pengkaji terdahulu yang berpendapat bahawa pengarang karya ini tidak menggunakan sumber-sumber rujukan yang muktabar ketika menghuraikan fakta-fakta berkaitan al-Quran sedangkan bacaan awal pengkaji mendapati pengarang sebenarnya tidak menggunakan pendapatnya sendiri ketika mentafsirkan ayat-ayat al-Quran, bahkan banyak karya-karya rujukan muktabar yang beliau rujuk. Oleh sebab karya ini masih dirujuk oleh masyarakat maka satu usaha pemurnian harus dilakukan. Oleh itu, objektif utama penyelidikan ini adalah untuk mengkaji dan mengesan sumber-sumber rujukan yang digunakan oleh Umar, M. S dalam Tafsir Nur al-Ihsan, di samping pengkaji mendedahkan bagaimana rujukanrujukan tersebut diolah dengan menggunakan pendekatan genetik yang diperkenalkan oleh Goldman. Menerusi pendekatan ini, semua sumber rujukan yang digunakan daripada al-Jami’ al-Ahkam al-Quran oleh Al-Qurtubi, A. A. B. didedahkan. Kajian memperlihatkan bahawa pengarang Tafsir Nur al-Ihsan telah mengambil lima pendekatan ketika mengolah teks dari karya yang beliau rujuk itu iaitu; teks dinukil secara tepat dan selari dari karya al-Jami’ al-Ahkam al-Quran, pengarang menukil teks secara abstrak daripada karya tersebut, pengarang menghilangkan beberapa perkataan dari teks yang dirujuk sebelum dimuatkan dalam Tafsir Nur al-Ihsan, pengarang menambah huraian dan penjelasan terhadap teks yang dinukil, serta pengarang menafikan sebahagian teks yang dirujuk. Pengkaji mendedahkan bahawa Umar, M. S. merujuk alJami’ al-Ahkam al-Quran ketika menulis Tafsir Nur al-Ihsan bertujuan mengukuhkan karyanya. Oleh itu, beliau berjaya berbuat demikian apabila teks yang dirujuk bertepatan dengan teks dalam karyanya. Namun, di tempattempat tertentu terdapat teks Tafsir Nur al-Ihsan yang bertentangan dengan teks al-Jami’ al-Ahkam al-Quran. Hal ini membuatkan tafsiran beliau pada bahagian ini meragukan.