Abstract:
Tafsir Nur al-Ihsan yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Said bin Umar adalah sebuah karya dalam bidang tafsir al-Quran. Masyarakat Islam telah menggunakan karya ini sebagai rujukan untuk memahami maksud ayat-ayat suci al-Quran. Akan tetapi, terdapat kritikan hebat yang dilakukan terhadap karya ini oleh sebahagian pengkaji kerana tidak terdapat rujukan yang jelas ketika pengarang menghuraikan ayat-ayat al-Quran.Menurut mereka, perkara ini mengelirukan masyarakat mengenai kesahihan huraian yang dilakukan dalam Tafsir Nur al-Ihsan ini. Oleh itu, objektif utama penyelidikan ini adalah untuk mengkaji dan mengesan sumber rujukan daripada karya Jami’ al-Bayan ‘an Takwil al-Quran yang digunakan oleh pengarang dalam Tafsir Nur al-Ihsan, di samping pengkaji mendedahkan bagaimana teks rujukan tersebut diolah olehnya. Kajian ini menggunakan pendekatan genetik yang diperkenalkan oleh Goldman bertujukan mencari dan mengenal pasti teks rujukan yang digunakan oleh Syeikh Muhammad Said dalam karyanya itu. Hasil analisis mendedahkan bahawa pengarang Tafsir Nur al-Ihsan menggunakan empat pendekatan ketika mengolah teks dari karya Jami’ al-Bayan ‘an Takwil al-Quran yang beliau rujukiaitu; teks dinukil secara tepat dan selari dari Jami’ al-Bayan ‘an Takwil al-Quran, menukil teks secara abstrak, menghilangkan beberapa perkataan dari teks yang dirujuk sebelum dimuatkan dalam Tafsir Nur al-Ihsan, serta menambah huraian dan penjelasan terhadap teks yang dinukil. Pengkaji mendedahkan bahawa Syeikh Muhammad Said merujuk Jami’ al-Bayan ‘an Takwil al-Quran ketika menulis Tafsir Nur al-Ihsan bertujuan mengukuhkan penulisannya itu. Oleh itu, beliau berjaya berbuat demikian kerana teks yang dirujuk selari dengan teks dalam karyanya itu.