Abstract:
Proses pembelajaran di peringkat pengajian tinggi perlu melalui fasa transformasi sejajar dengan kehendak dan keperluan masa kini. Pelaksanaan aktiviti pengajaran dan tugasan yang diberikan sebaiknya menekankan aspek pembentukan modal insan. Dalam erti kata yang lain, mahasiswa perlu dibekalkan dengan konsep independent study, melihat masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan peka terhadap perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Ini kerana, selepas bergraduat mahasiswa akan berada dalam komuniti, Kelompok komuniti di tempat kerja dan komuniti di luar tempat kerja. Aspek-aspek kemahiran yang diperolehi semasa belajar di universiti akan menjadi kayu ukur kepada kemampuan mahasiswa memberi khidmat terbaik kepada majikan mereka nanti. Pengajaran dan pembelajaran pada masa kini perlu dibuat penambahbaikan mengikut arus perubahan zaman. Stigma pemikiran masyarakat yang menyatakan pensyarah sebagai tenaga pengajar sahaja, perlu ditambah kepada pensyarah menjadi penasihat sesuatu projek atau tugasan yang diberikan kepada mahasiswa. Atas faktor ini, maka kajian dibuat untuk melihat bagaimana pelaksanaan Community Based Learning (CBL) dalam kurus Khidmat Masyarakat boleh dijadikan medium pengajaran berkesan dalam membina personaliti mahasiswa. Reka bentuk kajian adalah kajian tinjauan (tinjauan cross-sectional) dan data yang diperolehi dianalisis secara deskriptif berdasarkan peratusan yang diperolehi hasil daripada edaran soal selidik.