Abstract:
Menghafaz Al-Quran adalah suatu kemuliaan di sisi Allah SWT. Ia memerlukan kaedah yang betul dan komitmen yang tinggi. Kaedah yang betul amat penting bagi memastikan hafazan tersebut sentiasa kukuh dalam ingatan seseorang huffaz. Kajian yang dijalankan ini adalah satu kajian untuk melihat serta mengkaji kaedah hafazan dan sistem pembelajaran Al-Quran: kajian kes di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Muhajirin, Narathiwat, Thailand. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk melihat apakah kaedah yang diterapkan oleh Maahad Tahfiz Al-Quran tersebut. Seterusnya perkembangan maahad tahfiz di Negara Thailand serta menghuraikan masalah yang dihadapi oleh para huffaz sepanjang proses menghafaz Al-Quran. Seramai 50 orang pelajar terlibat dalam kajian ini. Instrumen kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah instrumen pemerhatian (observasi) dengan pemerhati situasi dijalankan secara teliti terhadap tingkah laku, keadaan persekitaran memerhati dan kaedah pembelajaran yang dijalankan. Di samping itu, soal selidik dan kajian perpustakaan turut dijalankan untuk memperolehi maklumat yang diperlukan. Hasil dapatan yang diperolehi daripada latar belakang responden borang soal selidik para pelajar mengenai kaedah, sistem dan masalah; kesemuanya dianalisis secara terperinci. Penelitian ini diharap dapat membantu melahirkan satu kaedah yang lebih kreatif dan efektif untuk mempermudahkan dalam menghafaz Al-Quran dan melahirkan lebih ramai huffaz yang berkualiti dalam jangka masa yang singkat.