Abstract:
Pendidikan al-Qur’ân merupakan suatu cabang ilmu kepada umat Islam. Ia meliputi pengajian dan pendidikan bacaan (qirâ’ât), kaedah-kaedah hafazan, pengkajian penterjemahan dan tafsir, pengkajian hukum-hukum dan sebagainya. Justeru, ramai umat manusia menghafaz al-Qur’ân sebagai pedoman hidup. Namun, sejauh mana hafazan tersebut terus kekal dalam ingatan menjadi satu persoalan. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk melihat apakah kaedah yang paling sesuai dan berkesan di dalam pembelajaran dan penghafazan al-Qur’ân. Selain itu, kajian ini juga menganalisis kaedah hafazan al-Qur’ân dan sistem pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’adzam Shah (UniSHAMS), iaitu lokasi utama kajian dijalankan. Sehubungan itu, kajian ini cuba memberikan fokus utama kepada kaedah hafazan al-Qur’ân dan keberkesanannya. Kajian ini juga cuba memaparkan sejarah dan perkembangan pembelajaran kaedah hafazan, hukum-hukumnya serta kepentingan dan kebaikan menghafaz al-Qur’ân berdasarkan sumber-sumber dari ayat-ayat al-Qur’ân dan al-Sunnah. Penyelidikan ini juga cuba meneltiti kaedahkaedah hafazan baru serta kaedah mengekalkan hafazan (sâbiq), dan kaedah mengulang bacaan lama (murâja‘ah). Instrumen yang digunakan di dalam kajian ini adalah melalui borang soal selidik yang telah diedarkan, temubual yang dijalankan untuk mendapatkan maklumat serta kajian perpustakaan. Data-data yang diperolehi seperti latar belakang para pelajar, pendapat para pelajar tahfiz, pendapat para guru tahfiz mengenai masalah, faktor yang mempengaruhi daya hafazan dan pengekalan hafazan serta kaedah yang paling berkesan untuk melaksanakan hafazan, kesemuanya dianalisis secara terperinci. Hasil kajian mendapati bahawa kaedah hafazan yang paling berkesan dalam menghafaz al-Qur’ân di UniSHAMS ialah dengan mengulang–ulang bacaan yang akan dihafaz serta memperdengarkan hafazan tersebut di hadapan guru. Justeru, hasil penelitian ini diharap dapat melahirkan satu modul pengajaran dan pembelajaran kaedah hafazan yang sistematik dan berkesan dan seterusnya melahirkan institusi tahfiz al-Qur’ân yang tersusun dan moden. Akhirnya, akan melahirkan lebih ramai hafiz dan hafizah yang berkualiti dan berwibawa. Secara keseluruhannya, kajian yang dijalankan ini mencapai objektif yang telah ditetapkan oleh penyelidik iaitu untuk mengkaji apakah sistem pembelajaran dan kaedah hafazan al-Qur’ân yang paling berkesan di dalam mendalami ilmu al-Qur’ân.