Abstract:
Al-Qur’an merupakan mukjizat yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril. Al-Qur’an kalam Allah mengandungi sumber ilmu pelbagai aspek serta panduan dalam kehidupan kepada umat manusia. Justeru, ramai umat manusia menghafaz al-Qur’an sebagai pedoman dalam hidup. Namun, sejauh mana hafazan tersebut terus kekal dalam ingatan umat manusia menjadi suatu persoalan. Justeru, kajian ini bertujuan untuk mengkaji konsep tadabbur al-Qur’an dan kesannya terhadap hafazan yang berkualiti. Tadabbur adalah memahami dan mendalami maksud ayat al-Qur’an, baik yang tersurat mahupun tersirat. Tadabbur merupakan pendekatan yang diinginkan Allah dalam interaksi antara manusia dan al-Qur’an. Realitinya hari ini, para penghafaz majoritinya masih meletakkan menghafaz al-Qur’an hanya sebagai bacaan yang dihafaz semata mata tanpa mengetahui maksud disebalik ayat ayat tersebut. Maka, kajian ini mengambil satu inisiatif mengkaji kesan tadabbur terhadap para penghafaz. Kajian ini merupakan kajian kepustakaan serta kajian lapangan. Pengumpulan data dilakukan dengan cara pengumpulan sumber-sumber data primer dan sekunder serta sumber-sumber yang relevan. Selain itu, kaedah temubual juga digunakan dalam kajian ini. Kesimpulan kajian ini para ulama dan responden bersetuju dengan perkaitan penting antara tadabbur dan hafazan al-Qur’an. Hal ini kerana tadabbur sangat memberi kesan kepada kualiti sesuatu hafazan. Malahan tadabbur ini ada satu tuntutan dari Allah SWT kepada setiap hamba-hambaNya lebih lebih lagi kepada para penghafaz al-Qur’an.